BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, January 27, 2010

Tingkatkan Daya Tahan Tubuh Badan



Tahukah anda, menurut apa yang saya baca, menangkis penyakit tidak semestinya harus bergantung kepada ubat-ubatan atau vitamin, tetapi terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat bertenaga. Lagipun, tubuh badan kita sudah memiliki sistem kekebalan semulajadi yang boleh menangkis penyakit daripada dalam.


Di samping memiliki kekebalan semulajadi, tubuh badan juga memiliki kemampuan membuat pertahanan setelah dihinggapi beberapa penyakit tertentu (acquired immunity). Contohnya, apabila seseorang pernah terkena cacar air, maka tubuhnya akan membentuk antibodi yang dapat menahan tubuh daripada diserang virus yang sama.


Agar sistem kekebalan tubuh dapat berfungsi dengan sempurna dan tubuh badan tidak mudah sakit, bukan hanya faktor-faktor fizikal seperti pengambilan makanan dan senaman yang perlu diambil kira, tetapi faktor psikologi juga perlu diselidiki. Ingat! Gaya hidup yang sihat menyumbang ke arah kesihatan yang maksimum. Panduan berikut boleh membantu:-


1) Bersosial
Percayakah anda bahawa individu yang mempunyai ramai kawan akan memilki kekebalan tubuh badan lebih baik berbanding mereka yang jarang bersosial. Fakta ini telah dibuktikan secara ilmiah oleh Barry Bittman, Pengarah Urusan Mind-Body Wellness Center di Meadvile, Amerika Syarikat.


2) Mendengar muzik
Kajian yang dilakukan oleh ilmuan, McGill dari Montreal University, Amerika Syarikat membuktikan jika seseorang mendengar muzik yang menggetarkan kalbu dan menyentuh perasaan, ia dapat memberi sensasi dan perasaan yang sama dengan kesan daripada pengambilan makanan dan seks. Bahkan, memainkan alat muzik dapat memberi kesan yang lebih baik daripada sekadar mendengarkannya. Syaratnya, muzik itu mestilah jenis muzik yang anda gemari.


3) Berfikiran positif
Mereka yang selalu berfikiran optimis lebih sihat berbanding mereka yang selalu berfikiran pesimis. Baru-baru ini, kajian yang dijalankan oleh Anna L. Marsland, daripada University of Pittsburg Medical Center mendapati mereka yang selalu berfikiran negatif, ‘moody’, cemas dan mudah tertekan mempunyai respon terhadap vaksin hepatitis yang lebih buruk berbanding mereka yang berfikiran positif. Selain itu, pakar-pakar di Mayo Clinic, Amerika Syarikat turut mendapati mereka yang di masa mudanya selalu berfikiran optimis mempunyai kecenderungan hidup 12 tahun lebih lama berbanding mereka yang selalu pesimis.


4) Cintai telinga anda
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh University Cornell, Amerika Syarikat mendapati, wanita yang berkerja di kawasan yang kadar kebisingannya sederhana, menghasilkan hormon adrenalin (pencetus ‘stress’) lebih banyak dan lebih kerap terkena penyakit jantung berbanding wanita yang berkerja di kawasan yang sunyi atau tenang. Suara-suara mahupun bunyi-bunyian yang tidak diingini memang boleh meningkatkan tekanan darah dan kadar kolesterol, serta menurunkan daya tahan tubuh badan. Ini kerana kebisingan memicu ketegangan dan denyut jantung sehingga menyebabkan pembuluh darah menyempit dan menggangu sistem penghadaman.


5) Makan secara sihat dan teratur
Walaupun anda sedang berusaha menurunkan berat badan, pastikan anda sentiasa memerhatikan mengambil makanan yang seimbang. Ini kerana, tubuh badan yang kekurangan nutrisi akan cenderung menghasilkan lebih banyak hormon yang mencetuskan ‘stress’. Selain itu, jika berat badan turun lebih daripada satu kilogram seminggu, akan membuatkan sistem kekebalan tubuh sukar mengenalpasti penyakit atau benda-benda asing yang masuk ke dalam tubuh badan.


6) Padamkan lampu ketika tidur
Jika selama ini anda selalu menyalakan lampu ketika sedang tidur, mungkin ada baiknya selepas ini anda padamkan lampu apabila bersedia untuk tidur. Tubuh badan yang terdedah kepada cahaya pada sepanjang malam membuatkan hormon melatonin, hormon yang mencegah penyakit tertentu menurun sehingga risiko terkena kanser payudara pun meningkat. Hormon melatonin hanya boleh dihasilkan oleh tubuh ketika suasana gelap.


7) Latih otak
Bukan hanya tubuh badan yang memerlukan latihan, otak juga perlu dilatih. Menurut ahli saraf, Marian Diamond, PhD dari University California, Berkeley, permainan yang memerlukan kemahiran berfikir boleh meningkatkan daya tahan tubuh badan seseorang wanita. Ini kerana, aktiviti mental yang menggunakan satu atau lebih kombinasi fungsi intelektual dapat membantu tubuh agar lebih tahan ‘lasak’.


8) Berehat
Jangan sesekali memaksa tubuh badan selalu berkerja keras. Meluangkan sedikit waktu untuk berehat dan meredakan ‘stress’ sangat penting untuk menjaga kesihatan. ‘Stress’ selain daripada menyebabkan rasa cemas, ia juga dapat merangsang penghasilan hormon kortisol dan adrenalin yang menurunkan kemampuan tubuh badan menolak penyakit.


9) Gerakkan tubuh
Banyak kajian membuktikan, jika senaman dilakukan secara teratur, ia dapat memperbaiki ‘mood’ meredakan ‘stress’ dan meningkatkan daya tahan tubuh. Tetapi, jika anda sedang menghadapi tekanan yang cukup berat, sebaiknya anda tidak melarikan diri dengan bersenam lebih lama atau lebih keras, ia hanya membuatkan tubuh lebih mudah jatuh sakit. Jadi jangan paksa diri anda, ia akan memudaratkan lagi kesihatan anda.

10) Tertawalah!
Ketawa juga, menerusi kajian yang dilakukan oleh Fakulti Kedoktoran di Universiti California, Amerika Syarikat membuktikan gerakan otot perut ketika anda ketawa boleh merangsang pengasilan antibodi dan sel-sel aktif yang berguna untuk memerangi jangkitan penyakit. Ketawa juga meningkatkan peredaran darah, menurunkan tekanan darah, menghilangkan ketegangan otot dan melancarkan sistem pencernaan. Jadi, lebih banyak anda ketawa, hidup anda akan lebih riang dan sihat!